Monday, April 13, 2009

Melaka Tropical Fruit Farm


Melaka tidak ketinggalan mengutamakan industri pelancongan dalam agenda pembangunan negeri dengan meneroka lokasi dan produk-produk pelancongan baru bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Melaka bukan sahaja menjadikan lokasi menarik sebagai agenda pelancongan negeri malah ia turut berasaskan kepada sejarah, pertanian, seminar, konvensyen, kesihatan dan pelbagai lagi dalam menarik minat pelancong. Produk pelancongan baru yang ditawarkan oleh Melaka dan dirasmikan oleh Dr. Mahathir sempena lawatannya ialah Taman Buah-Buahan Tropika Melaka (MTFF) di Selandar yang mengambil konsep taman buah-buahan di Brisbane, Australia.

MTFF yang terletak di kawasan tanah hutan simpanan kerajaan seluas 152.5 hektar mulanya telah diterokai sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) pada tahun 1998. Taman itu secara rasminya dikenali sebagai MTFF sempena kunjungan Perdana Menteri pada 3 Oktober 2002 dengan konsep sebuah ladang buah-buahan tropika yang moden, komersial dan berteknologi.

Ketika ini, tanaman utama di MTFF terdiri daripada cempedak, jambu batu tanpa biji, limau madu, mengkudu, rambutan, ciku, herba tongkat ali/kayu manis, mangga Melaka delight, durian, limau kasturi, mata kucing dan limau sinzwen. Taman itu turut mengeluarkan hasil sayuran seperti bendi, cili dan terung.

Pada masa ini ia diusahakan secara kelompok oleh seramai 17 pengusaha individu dan lima pengusaha swasta dengan setiap peserta mengusahakan tanah seluas antara satu hektar hingga lapan hektar. Antara lain matlamat MTFF ialah mengeluarkan buah-buahan tropika terpilih dan sayuran bernilai tinggi yang terancang dan berterusan bagi membantu mengurangkan import bahan makanan terutamanya di negeri ini.

MTFF juga bermatlamat untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan dan usahawan menceburi bidang penanaman bahan makanan bagi meningkatkan pendapatan mereka di samping menjadikan salah satu destinasi pelancongan menarik di Melaka.

No comments: